Ahad, 29 Julai 2018

Dewata Rakyat Tamil


Dewata-dewata rakyat Tamil ini dikira sebagai grama devata atau penunggu kampung di negara-negara orang Tamil. Dewa-dewa ini tidak termasuk dalam kelompok dewa Vedic dan kitab suci Hindu yang disebut sebagai Agamas dalam bahasa Sanskrit. Dewa-dewa ini boleh ditemui di merata India Selatan seperti di Tamil Nadu dan Andhra Pradesh.

Dalam bahasa Tamil, dewa-dewa ini disebut sebagai Kaval Deivam atau semangat penunggu dan Kula Deivam atau dewa tempatan. Dewa-dewa ini biasanya dikaitkan dengan dewata utama yang umumnya dilingkungkan sebagai Kula Deivam oleh pelbagai kultus dan kelompok keluarga sebagai satu cara untuk mereka mengesan generasi tua mereka.

Perumah dan Sanggar

Kebanyakan dewata kampung ini mempunyai perumah atau sanggar yang dibina di sempadan atau hujung kampung sebagai wakil bagi penunggu kampung mereka. Oleh itu, mereka juga dirujuk sebagai dewata penghujung kampung.

Terdapat kira-kira 21 dewata bersekutu dan 61 dewata pelayan yang terletak sama ada dalam premis yang sama atau di tempat-tempat berbeza dalam kawasan kampung. Contohnya, dewi-dewi Amman boleh jadi dipasang di tengah kampung. Namun, dewata seperti Sonai, Sudalai atau dewata tanpa rupa Nadukkal boleh jadi dipasang berdekatan dengan perkuburan atau berdekatan dengan pusat peringatan terhadap mereka yang sudah meninggal dunia.

Dewata kampung ini sama ada diwakili oleh murti yang besar dan garang atau batu yang ringkas sahaja. Kebanyakan kuil pula adalah terbuka dan biasanya berupa kawasan pemujaan yang ringkas dan terhad. Senjata-senjata seperti trisula, lembing atau sabit juga dikaitkan dengan tempat pemujaan dewata-dewata ini.

Selain daripada itu, kita boleh melihat banyak kuda terracotta, gajah, patung tanah liat, burung dan loceng di tempat pemujaan. Hal ini adalah hampir serupa dengan kebudayaan di Tamadun Lembah Indus. Kebanyakan pedanda upacara adalah dari golongan pandaram. Mereka ini berasal dari keturunan tempatan yang diangkat sebagai generasi yang menjaga pusat agama sejak beberapa keturunan yang lampau.

Pada zaman purba, kebanyakan pedanda di negara-kota Tamil adalah dari golongan pandaram. Corak pemujaan mereka bersifat bukan Vedic dan disampaikan melalui ceritera rakyat, lagu-lagu rakyat dan kesenian tempatan seperti Villapattu, Karakattam, Kooththu dan lain-lain. Pedanda tempatan mungkin akan mempersembah bunga-bunga suci atau vibhuthi (abu suci) kepada pemuja dan memainkan peranan sebagai pawang atau oracle dalam upacara bersifat shamanism.

Kategori Dewata

Terdapat tiga jenis kategori dewata di negara-negara kota Tamil. Corak pemujaan di negara-negara kota Tamil ini kemudian dibawa oleh diaspora Tamil ke luar negara apabila mereka mengikut skim pemindahan migran pada zaman British pada lewat abad ke-19 M. Kategori-kategori dewata mereka adalah seperti berikut:
Lagenda-Lagenda Malapetaka

Lagenda-lagenda ini termasuklah mengenai kisah-kisah penganiayaan yang berlaku dalam masyarakat Tamil purba seperti kisah Kannagi dan kisah Nalla-Thangal. Dari kisah-kisah ini kemudian menimbulkan pemujaan yang bertujuan untuk memperingatkan masyarakat supaya jangan mengulangi kesilapan pada zaman lampau.

Kesucian dan tatasusila wanita sangat dititikberatkan dan diberikan perhatian dalam masyarakat Tamil. Perayaan seperti Chitra Pournami dirayakan dengan gegak gempita bagi memperingati wanita-wanita yang menjalani Sati dan juga wanita seperti Kannagi.

Kisah Nalla-Thangal dan seumpamanya mewakili keadaan di mana sokongan keluarga terhadap individu yang lemah itu membawa kepada kejadian bunuh diri dalam kalangan wanita dan kanak-kanak. Kisah-kisah sebegini mempunyai latarbelakang moral supaya masyarakat tidak mengulangi kesilapan seumpama ini.

Lanjut