Dewa Penjinak Kuasa Jahat


Terdapat elemen alam atau tenaga alam yang ditakuti oleh orang ramai. Pada zaman dulu, Muniswaran atau Muniappan dikaitkan dengan permohonan perlindungan dari orang ramai. Muniswaran akan meminum darah jahat dan menjalankan kerja-kerja membawa kesan baik dalam masyarakat.

Muniswarar

Muniswarar atau Muneswara dalam bahasa Kannada  adalah salah satu dewata dalam kepercayaan orang Hindu di sebelah selatan. Muni bermaksud wali dan iswara mewakili dewa Siva. Muniswara dipuja sebagai kula devata dalam kebanyakan keluarga Shaiva di Tamil Nadu dan Karnataka. 

Asal-Usul Muniswarar

Nadamuni Dakshayani (Sati) adalah puteri bongsu kepada Daksha, ketua kepada segala dewa. Apabila dewi Sati membesar, baginda terpikat kepada dewa Siva dan memuja baginda secara rahsia. Dalam sayembara memenangi dewi Sati, Daksha menjemput segala putera dan dewa kecuali dewa Siva. Dewi Sati melambungkan kalungan bunga ke udara dan menyeru dewa Siva supaya menyambut kalungan bunga itu. Ketika itu, dewa Siva berdiri di tengah istana dengan kalungan bunga di leher baginda.

Daksha tiada pilihan lain selain daripada mengahwinkan dewi Sati dengan dewa Siva. Satu hari, Daksha merancang upacara pengorbanan kuda yang besar. Baginda menjemput semua dewa kecuali dewa Siva. Dewi Sati berasa sangat terhina. Baginda ke kenduri besar tersebut lalu membakar diri baginda di depan hadirin dan jatuh mati di kaki Daksha. Apabila berita ini sampai ke pendengaran dewa Siva, baginda pun murka dan mencabut segenggam rambut dari ikatan rambut baginda. Genggaman rambut tersebut bersinar dengan tenaga amarah. Ia jatuh ke bumi lalu muncul Veerabhadra dari rambut tersebut. Tubuh Veerabhadra tinggi sehingga mencapai kayangan. Dia gelap seperti awam hujan, mempunyai beribu tangan, tiga mata yang membara dan rambut yang sergum menakutkan. Veerabhadra memakai kalungan tengkorak dan membawa senjata yang menakutkan. Veerabhadra menyembah kaki dewa Siva dan memohon perintah dewa Siva. Dewa Siva memerintahkan Veerabhadra, "Kepalai tentera beta menentang Daksha dan hancurkan pengorbanannya. Jangan engkau takut dengan para brahmin, kerana engkau adalah sebahagian dari diri beta!"

Dengan perintah ini, Veerabhadra muncul bersama dengan Sivaganas di tengah perhimpunan dan kenduri Daksha. Seperti taufan mereka memecahkan bekas-bekas pengorbanan, mencemarkan sembahan, menghina para pedanda dan kemudian memotong kepala Daksha. Dewa Indra pun turut dipijak dan cokmar Yama pun dipatahkan. Dewa-dewa semua bertempiaran ke sana ke sini.

Penglipurlara tempatan menyebut bahawa untuk melindungi roh-roh yang baik, dewa Siva kemudian mencetuskan Muniswarar. Muniswarar ini mempunyai tujuh kualiti dan kesemua kualiti ini menjadi nama baginya. Nama-namanya adalah seperti berikut:
  • Sivamuni, kerana beliau muncul dari muka dewa Siva
  • Mahamuni, kerana beliau mempunyai tenaga sakti yang tidak terkira
  • Tavamuni, kerana beliau menghapuskan segala halangan di jalan para dewa dan para resi semasa upacara yagna mereka
  • Nathamuni, kerana beliau mempersembah restu kepada para dewa dan Buddhaganas
  • Jadamuni, kerana beliau menumbuhkan pokok dan menyerap dalam Rudrakshamala Katgar serta kitab
  • Dharmamuni, kerana beliau melindungi mereka yang baik dan menghapuskan mereka yang jahat
  • Vazhamuni, kerana beliau dipuji dan dipuja oleh para Kapali (pengayau kepala) yang berdiam dalam hutan 
Pemujaan Muniswarar

Pemujaan dewata ini sangat terkenal di India di wilayah Karnataka, daerah Chittoor di Andhra Pradesh, kampung Ramalai di Gudiyattam, Vellore dan Utara Tamil Nadu. Selain itu, pemujaan ini juga terkenal di negara asing seperti Singapura, Malaysia, Trinidad dan Tobago, Guyana dan Suriname.

Banyak kuil dibangunkan untuk dewata ini. Oleh kerana senjatanya adalah trisula, maka kuil untuk Muniswarar biasanya mengandungi trisula yang dipacak pada tanah dengan limau dicucuk di hujung bucu tajam trisula itu. Di kebanyakan kampung di India, dewata ini diwakili oleh batu yang dipasak pada tanah. Apabila tugu Muniswarar digunakan, ia dilukis dan diwarnakan berbeza dengan tugu-tugu granit hitam dalam kuil-kuil Hindu lain. Tugu dewata ini biasanya dipakaikan dhoti, tidak seperti tugu dewata lain.

Dewata ini dipuja umumnya dalam rupa dewa yang garang atau dewa yang aman-aman sahaja. Mereka yang memuja dewa ini dalam rupa ganasnya, biasanya bahan pemujaan adalah terdiri daripada haiwan ternakan seperti kambing atau ayam.

Amman

Peichi Amman juga turut termasuk dalam bentuk dewata ini. Pei bermaksud setan dalam bahasa Tamil.

Source Pic: Sri's Newsletter (online)
Rujukan Tambahan:
  • Pemujaan Muniswaran oleh Sharmalan Thevar (blog)
  • Kampung-Kampung Tamil: Jantung Purba Negara Tamil, Hidup dalam Dakapan Arunachala (wordpress)