Batu Perwira dan Batu Sati

Nadukkal atau Veerakkal bermaksud batu perwira. Ia adalah sejenis batu yang disediakan untuk kaum lelaki mengorbankan kehidupan mereka untuk tujuan kebajikan. Batu Sati pula adalah batu yang disediakan bagi kaum wanita yang mengorbankan diri mereka untuk tujuan tertentu, contohnya untuk kesucian dan tatasusila diri.

Kategori ini termasuklah mereka yang hidup dan mati kerana komuniti mereka. Oleh itu, komuniti mereka akan membina peringatan dan memuja mereka. Kelompok ini termasuklah mereka yang terbunuh kerana ketidakadilan dan kemudian mereka dipuja bagi mengelakkan mereka menghantui kampung tersebut.

Pemujaan untuk pahlawan yang gugur di medan perang juga termasuk dalam bentuk pemujaan yang popular. Puisi awal Tamil yang dikenali sebagai Tolkappiyam memberikan penerangan panjang lebar mengenai enam tahap bagi memasang batu sebegini. Ia bermula dengan mencari batu yang sesuai sehinggalah kepada pembangunan institusi bagi pemujaan yang rasmi. Gambar wira biasanya akan dihiasi dengan bulu burung merak. Sesetengah puisi merujuk kepada lembing dan perisai yang ditegakkan di kawasan batu tersebut dipasang. Penyembahan naravam atau todi kepada roh wira yang gugur di batu peringatan tersebut juga disebut.

Masa pun berlalu, nadukal-nadukal ini kemudian menjadi pusat pemujaan bagi Ayyanar. Dewa-dewa perwira lain termasuklah Mathurai Veeran (Madurai), Kaathavarayan (Tanjore) dan Annammar Swamigal (Karur).

Kuil-kuil Thee Paanch Amman di utara Tamil Nadu umumnya dibina bagi memuja balu-balu yang menceburkan diri mereka ke dalam api pembakaran mayat suami mereka dalam upacara Saathi.

Kuil Maachani Amman di Polaachi dibina untuk memuja gadis muda yang dihukum bunuh oleh raja Kongu yang murka kerana beliau makan buah mempelam dari kebun diraja.

Palayanoor Neeli adalah gadis yang dikhianati dan dibunuh dengan muslihat oleh suaminya. Beliau kemudian mengambil jelmaan dan membunuh suaminya dalam jelmaan seterusnya. Selain itu, beberapa pasangan yang mati kerana perbezaan kasta juga dipuja sebagai dewata di beberapa kampung.

Pemujaan Seelakari Amman di beberapa kawasan di selatan Tamil Nadu dan pemujaan Kannagi dianggap sebagai salah satu daripada bahagian sistem pemujaan batu Sati. Dewi-dewi ini dipuja kerana kesucian mereka dan mereka dianggap sebagai fokus utama bagi wanita Tamil. Kanni Amman dan Pachai Amman juga adalah antara dewi-dewi yang dipuja sebagai peringatan untuk kesucian diri wanita bagi masyarakat Tamil.

Umumnya, batu-batu Sati tidaklah menjadi sebahagian daripada 21 dewata kecil Ayyanar. Namun di sesetengah tempat, dewi Seelakari Amman dianggap sebagai salah satu daripada 21 dewata kecil tersebut. Selain itu, terdapat keperluan untuk kajian lanjut bagi mengenalpasti klasifikasi bagi dewata-dewata kecil lain seperti Isakki Amman, Sonai Karuppu dan lain-lain.

Sesiapa sahaja yang menegakkan keadilan dan berlawan dengan penuh keberanian bagi menegakkan keadilan atau meninggal dunia bagi sebab mencari keadilan maka dia akan dipuja dalam sistem pemujaan batu perwira ini. Antara mereka yang terkenal dipuja dalam sistem ini adalah Pandian Nedunchezhian dari cetera Silappathikaram. Beliau dipuja sebagai Pandi Muneeswarar bersama dengan Samaya Karuppu.