Pandyavamsa yang juga dikenali sebagai wangsa Pandya dari Madurai merupakan salah satu daripada tiga dinasti berketurunan Tamil dari India Selatan. Pemerintah dari ketiga-tiga negara ini digelar sebagai muventar atau tiga pemerintah mahkota negara Tamil. Kawasan jajahan dinasti ini agak luas. Ada ketikanya, ia meliputi sebahagian besar rantau India Selatan zaman moden dan Sri Lanka. Madurai menjadi ibu kota kerajaan ini.
Usia sebenar kerajaan ini sangat sukar untuk ditentukan. Panglima-panglima Pandya sudah memerintah negara ini sejak dari zaman antah-berantah. Pemerintahan mereka meliputi kota hulu Madurai dan pelabuhan selatan di Korkai. Negara ini disebut beberapa kali dalam sumber Yunani-Romawi (seawal abad ke-4 SM) dan disebut dalam Piagam Asoka dari empayar Maurya (abad ke-3 SM). Negara ini juga diraikan dalam kesusasteraan Sangam awal. Sumber rujukan Yunani dan Latin (awal abad masihi), matawang dengan lagenda bertulisan Tamil-Brahmi, dan batu bersurat Tamil-Brahmi mencadangkan bahawa kerajaan ini telah wujud sejak abad ke-3 SM sehingga awal abad masihi. Rujukan sejarah awal kerajaan ini mungkin menjadi kabur disebabkan oleh kebangkitan dinasti Kalabhra di India Selatan.