Cholavaṃśa




Cholavaṃśa atau dinasti Chola merupakan salah satu daripada dinasti yang lama sekali memerintah dalam sejarah Asia Selatan. Rujukan yang paling awal sekali mengenai dinasti Tamil ini boleh didapati pada prasasti dari abad ke-3 SM yang ditinggalkan oleh baginda Aśoka, Maharaja empayar Maurya (rujuk kepada Tugu Batu Utama Aśoka No. 13). Dinasti merupakan salah satu daripada Tiga Raja Mahkota di Tamilagam atau Benua Tamil. Dinasti ini terus memerintah di beberapa rantau yang sering berubah-ubah disebabkan oleh peperangan purba sehingga abad ke-13 M.

Ibu kota kerajaan Chola ini terletak di lembah subur Sungai Kaveri, namun kuasa atau pengaruh mereka melebar ke kawasan yang lebih luas ketika zaman kekuasaan mereka yang bermula dari abad ke-9 M sehingga ke permulaan abad ke-13 M. Seluruh rantau selatan di Tungabhadra disatukan dan dijadikan satu negara selama dua abad dan lebih di oleh dinasti Chola.

Di bawah pemerintahan Raja Raja Chola I dan pengganti baginda, Sri Rajendra Chola I, Rajadhiraja Chola dan Virarajendra Chola serta Kulothunga Chola I, dinasti berubah menjadi kuasa ketenteraan, ekonomi dan kebudayaan di Asia Selatan. Pengaruh mereka pada abad ini melebar sehingga ke Asia Tenggara. Kuasa empayar baru ini diketahui oleh dunia timur melalui ekspedisi Rajendra Chola I ke Ganges. Selain itu, kerajaan Tamil juga melakukan serangan di laut ke atas negara-negara kota di empayar laut selatan iaitu Śrīvijaya. Kerajaan baginda juga menghantar rajaduta ke istana benua China. Kapal perang Chola mewakili zaman kegemilangan kuasa orang Tamil purba di lautan.

Pada sekitar 1010-1153, rantau dinasti Chola ini melebar dari kepulauan Maldives di selatan sehingga ke utara di tebing Sungai Godavari di Andhra Pradesh. Beberapa bahagian di India Selatan ditawan oleh dinasti Chola dan kawasan di Sri Lanka pada hari ini serta Maldives pun dirampas masuk ke kekuasaan Chola. Rajendra Chola menghantar ekspedisi-ekspedisi perang yang jaya ke India Utara sehingga menyentuh Sungai Ganges. Bala tentera baginda mengalahkan Mahi Pala, raja empayar Pala di Pataliputra yang kini berada dalam negeri Bihar di Republik India. Serangan baginda ke atas empayar Śrīvijaya yang merangkumi negara-negara kota di rantau Malaysia dan Indonesia pada zaman moden turut berjaya. Dinasti Chola mengalami kejatuhan apabila Pandyavaṃśa mengalami kenaikan dan sekaligus menjatuhkan Cholavaṃśa di Tamilagam.

Dinasti Chola meninggalkan warisan yang boleh lagi dilihat sehingga ke hari ini. Mereka memberi perlindungan kepada kesusasteraan Tamil dan mereka juga gigih membina kuil-kuil yang memberikan impak besar kepada kekayaan khazanah karya sastera serta senibina dari rantau Tamilagam. Raja-raja dari dinasti ini bukan sahaja membina kuil sebagai tempat pemujaan rakyat dan negara namun ia turut berfungsi sebagai pusat kegiatan ekonomi mereka. Dinasti Chola menjadi perintis kepada bentuk kerajaan berpusat dan mengasaskan birokrasi yang teratur serta berdisiplin. Aliran kesenian Chola juga merebak sehingga ke Asia Tenggara dan mempengaruhi kesenian dan senibina orang-orang di Asia Tenggara bermula dari abad ke-10 sehingga ke-13 M.

Gambar: Benoit Stichelbault, Southern India (39/48) (online)
Visual: Thanjai-Periya Kohil, Raja Raja Cholan, 1973 (Youtube