Pengenalan Tradisi Siddha Tamil

Amalan-amalan mereka ini dipercayai membolehkan mereka mendapat pandangan batin serta mengeluarkan tenaga-tenaga tersembunyi. Ia berguna untuk mengubati penderitaan batin dan kejahilan manusia. Umumnya, seorang Siddha itu adalah keramat, seorang ahli kimia, para dukun dan juga mereka yang berkecimpung dalam bidang yang berbentuk rohaniah atau psikologi. Mereka akan mencatit penemuan mereka dalam bentuk seloka dalam daun-daun lontar. Daun-daun lontar ini diwarisi oleh keluarga mereka keturunan demi keturunan. Ada juga daun lontar mereka yang disimpan dalam perpustakaan di seluruh dunia seperti di India, Jerman, Britain dan Amerika Syarikat (AS). Dengan cara ini, pengetahuan para Siddha turut berkembang menjadi satu bidang ilmu yang luas.

Di wilayah Tamil Nadu sahaja, bidang pendidikan perubatan Siddha ini diamalkan sebagai salah satu kaedah rawatan alternatif dan tradisional. Di negara Malaysia pula, kaedah Siddha diiktiraf sebagai bentuk rawatan komplementari kepada perubatan moden di hospital-hospital kerajaan di samping perubatan teknik mengurut orang Melayu dan teknik akupuntur orang Cina. Bentuk penyembuhan asas yang hampir sama dengan perubatan Siddha ada juga diamalkan oleh suku kaum di Tamil Nadu, suku kaum di Indochina dan dalam kalangan orang asli di Semenanjung Tanah Melayu.

Kelompok Siddha turut mengasaskan ilmu varma atau ilmu pertahanan diri serta perubatan yang melibatkan pertahanan diri. Di sebelah Indochina sebagai contoh, amalan pertahanan diri yang dikenali sebagai Muay Boran atau Tinju Purba mempunya amalan yoga dan rempah-ratus untuk pemulihan bagi mereka yang berkecimpung sebagai hamba tentera bagi pihak istana. Seni-seni ini menumpukan kepada titik sendi dan nadi yang boleh digunakan untuk menyerang anggota tubuh manusia. Titik ini boleh melumpuhkan pertahanan diri lawan dan boleh pula memberi keseimbangan kepada tubuh badan sebagai salah satu langkah pertolongan cemas sebelum pesakit dibawa ke pusat rawatan untuk rawatan lanjut. Seni silat dalam kalangan orang Melayu dan orang Jawa juga mempunyai bentuk perawatan dan urutan yang menggunakan minyak bercampur dengan rempah ratus yang hampir sama dengan perubatan Siddha.

Kelompok Siddha dalam tradisi orang Tamil pertama kalinya memperkembang bacaan nadi dengan sebutan, nādi pārththal. Bacaan nadi ini digunakan untuk mengetahui punca penyakit. Kaedah ini kemudian ditiru pula oleh bahagian rawatan Ayurveda. Syair-syair keagamaan banyak juga ditulis oleh para Siddha tradisi Tamil. Mereka dipercayai berusia panjang dan tinggal di pergunungan di pedalaman Sadhuragiri berhampiran dengan kampung Thannipparai di Tamil Nadu.